Cabaran Membangunkan Ekonomi Kampung Halaman & Tempatan
Fitrah manusia itu secara umumnya sayangkan kampung halamannya. Bagi anak jati yang prihatin, pasti tersemat di hati untuk membangunkan ekonomi kampung atau daerah sendiri agar dapat dinikmati oleh semua warga.
Tapi, konsep pembangunan ekonomi secara konvensional atau yang selalu terpacul di akal fikiran kita pasti melibatkan pelabur luar yang selalunya bukan anak tempatan dan tiada kaitan pun, pengambilalihan tanah, pindah milik tanah, penebangan hutan, berdirinya bangunan dan lot kedai, serta pembangunan taman-taman perumahan.
Maka, kemodenan dan kemajuan ekonomi yang tercipta hanyalah berupa satu ilusi dan menyesakkan jiwa raga anak tempatan.
3 PERKARA NEGATIF HASIL PEMBANGUNAN EKONOMI
Kerapkali, pembangunan ekonomi di sesebuah daerah bukan sahaja datang dengan faedah kewangan tetapi pelbagai perkara negatif juga turut hadir sebagai satu pakej.
Selalu dapat kita lihat, jika berlaku pembangunan ekonomi di kampung halaman kita, akan berlaku 3 perkara negatif berikut sebagai kesan negatif utama:
- Tanah tergadai kepada pemaju.
- Peningkatan masalah sosial.
- Keharmonian masyarakat ‘membusuk’ dan hubungan semakin ‘merenggang’.
Adakah 3 perkara ini sememangnya wajib datang sekali?
Atau, ada sesuatu yang kita terlepas pandang?
Persoalan untuk dijawab, bagaimana meningkatkan taraf hidup masyarakat melalui pembangunan ekonomi berasas daerah atau setempat yang BEBAS DARIPADA 3 ISU NEGATIF UTAMA tersebut?
Mungkin ada jalan atau cara yang kita abaikan selama ini.
Salah satu punca, boleh jadi kerana ‘pilihan’ kita semua untuk berterusan memilih menjadi PEMERHATI atau PENONTON sahaja sejak sekian lama.
APA ASAS KEPERCAYAAN UNTUK MENOLAK KESEMUA 3 ISU NEGATIF TERSEBUT?
Secara teorinya (ya, pada ketika ini ianya masih sekadar teori), ia boleh dilakukan dengan mudah.
Namun, perkataan ‘mudah’ tersebut bukanlah bererti senang!
Dikatakan mudah kerana hanya dengan penglibatan penduduk setempat sahaja 3 kesan negatif boleh dielakkan dan ekonomi tempatan dapat dimajukan agar lebih rancak.
Secara teorinya, langsung tidak memerlukan penglibatan pihak berkuasa atau melibatkan pilitik kepartian dan sebagainya yang lebih menjerumus masyarakat ke arah perpecahan.
Persoalan yang pasti masih ada di kepala – “Mampukah ianya dilakukan hanya dengan penglibatan penduduk setempat sahaja?”
Pembangunan ekonomi setempat harus bermula dengan prinsip utama yang didasari oleh moto “Sokong Peniaga Kecil, Beli Dalam Daerah”.
Ya! Kita mampu!
Jika kita berkehendak.
SIRI ARTIKEL TIPS PEMBANGUNAN EKONOMI KAMPUNG HALAMAN & SETEMPAT
Bermula daripada bulan Mei ini, kami akan mula menerbitkan pelbagai artikel & kandungan lain seperti video dan sebagainya yang mengandungi pelbagai tips untuk dikongsi dan kita kembangkan bersama.
Harapan kami adalah agar kita iaitu warga masyarakat setempat, dapat memikirkan cara dan merancang untuk melaksanakannya di lokaliti sendiri secara bersama.